Kesatuan itu baru-baru ini mengeluarkan kenyataan kontroversi, dengan mendakwa setiap hari guru disaman oleh pihak luar dan ini telah menyumbang kepada ketakutan dalam kalangan guru dan seterusnya memberi tekanan kepada mereka.
Kajian bersama oleh pensyarah dari dua buah universiti awam tempatan itu mendapati, kerja yang berkaitan profesion perguruan seperti pengajaran dan pembelajaran adalah kerja rutin dan tidak mencabar.
Penyelidikan dilakukan oleh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Segamat, Noordin Yahaya dan Sharifudin Ismail, dan pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Azizi Yahaya.
Kajian bersama itu bertajuk Tingkah Laku Kepimpinan Pengetua dan Hubungannya dengan Tekanan Kerja dan Keberkesanan Organisasi, Di Beberapa Buah Sekolah Terpilih Di Negeri Sembilan.
Kajian bertujuan melihat hubungan antara tingkah laku kepimpinan pengetua, tekanan yang dialami oleh guru dan keberkesanan organisasi di beberapa buah sekolah luar bandar di kawasan pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Seremban-Port Dickson dan kawasan pentadbiran PPD Rembau-Tampin.
Kertas kerja itu dibentangkan semasa Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke-12 di Genting Highlands, Pahang, baru-baru ini.
Menurut penyelidik berkenaan, beban kerja guru tiada kaitan dengan keberkesanan organisasi sekolah.
Ini kerana tambahan beban itu tiada kaitan dengan peningkatan produktiviti guru.
Walau bagaimanapun, kajian mendapati kecekapan pengetua ada kesannya kepada organisasi sekolah yang ditadbirnya.
Pengetua yang baik dari segi kepimpinan boleh memotivasikan guru dan menambah keberkesanan organisasi sekolah, menurut kajian itu.
Kertas kerja itu turut mencadangkan beberapa langkah untuk meningkatkan prestasi kepimpinan guru iaitu:
- Bengkel dan latihan patut dianjurkan untuk meningkatkan mutu kepimpinan dalam bidang hubungan manusia, kemahiran interpersonal dan kemahiran teknikal.
- Latihan kepekaan yang memberi fokus kepada hubungan manusia dan kemahiran interpersonal boleh memberi peluang pengetua untuk mengenali diri mereka dan kesan tingkah laku terhadap orang lain. Kemahiran dan pengetahuan yang diperoleh oleh pengetua boleh digunakan untuk memotivasikan staf di bawah kepimpinannya.
- Pengetua hendaklah diberi peluang untuk meningkatkan pengetahuan teknikal seperti kepimpinan pembelajaran, pembinaan kurikulum dan kaedah pembelajaran.
- Pendedahan terhadap pengurusan sumber manusia hendaklah dijalankan yang memberikan penekanan amalan peningkatan produktiviti dan teknik memotivasikan kakitangan dibawahnya. Pengetahuan dan kemahiran ini juga dapat menyokong pengetua merancang program perkembangan staf.
- Sebelum dilantik ke jawatan pengetua, bakal pengetua hendaklah mengikuti beberapa kursus yang melibatkan pentadbiran sekolah. Ini boleh mengelakkan pengetua memulakan pengendalian sekolah melalui proses trial and error.
No comments:
Post a Comment