Saturday, September 4, 2010

MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP PERLAKUAN MENJEJASKAN HUBUNGAN BAIK MALAYSIA - INDONESIA


Diserahkan Oleh:

Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2009/2010

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia



Kepada:

Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia


Tarikh:

3 September 2010


PENDAHULUAN


Akhir-akhir ini isu berkenaan dengan hubungan baik Malaysia-Indonesia seakan kembali dihangatkan seperti mahu membuka sejarah pahit yang sudah lama antara Malaysia dan Indonesia. Ianya bermula apabila seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu berteriak "ganyang Malaysia" bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di perairan perbatasan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau 13 Ogos 2010.

Sejak insiden 13 Ogos itu, beberapa demonstrasi dilakukan oleh kumpulan-kumpulan kecil yang bertindak merosakkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia, memanjat pintu pagar dan tembok pintu pagar dan berdiri di atasnya. Insiden itu diburukkan lagi dengan perbuatan melempar najis manusia ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di sini oleh penunjuk perasaan dari kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).


PENDIRIAN

Walaubagaimanapun, kami Majlis Perwakilan Pelajar Sesi 2009/2010 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPP 09/10 UIAM) memandang isu ini dari sudut lebih rasional tanpa cuba melibatkan emosi. Hubungan Malaysia dan Indonesia sudah begitu lama terjalin. Apatah lagi Malaysia dan Indonesia berpayung dan berjiran di dalam ASEAN dan telah menjalin pelbagai persefahaman dan perjanjian sejak dari dahulu lagi. Satu lagi nilai yang perlu dilihat ialah nilai persaudaraan Islam dan satu rumpun Melayu yang sepatutnya menjadi kekuatan kepada kedua-dua negara untuk terus bersatu.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sendiri, mahasiswa dari Indonesia merupakan kelompok yang paling ramai mewakili mahasiswa antarabangsa. Tenyata hubungan mahasiswa Malaysia dan mahasiswa dari Indonesia sangat baik dan kami turut bekerjasama dalam pelbagai aktiviti bersama.

Kami barisan MPP, sebagai wakil mahasiswa di UIAM akan sedaya upaya mengawal segala bentuk tindakan dan provokasi daripada berlaku di dalam Taman Ilmu dan Budi UIAM ini agar ia tidak memburukkan lagi hubungan baik di antara kedua-dua buah negara.

Kami percaya, insiden yang berlaku ini hanya dilakukan oleh segelintir rakyat Indonesia dan ia ada kaitan dengan pihak ketiga yang cuba mengeruhkan hubungan ukhwah di antara Malaysia dan Indonesia yang saling membantu antara satu sama lain dalam memajukan kedua-dua buah negara.

Walaubagaimanapun, kami MPP UIAM menyeru agar:

1) Kerajaan Indonesia mengambil tindakan segera dan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam usaha berterusan mengeruhkan perselisihan antara kedua-dua buah negara sama ada dalam serangan secara fizikal atau siber. Kerajaan Indonesia diharap agar dapat melakukan siasatan yang lebih terperinci untuk mencari siapakah dalang dalam masalah ini.

2) Media Indonesia dan Malaysia perlu lebih berhati-hati dan telus dalam melaporkan isu mengenai masalah ini dan tidak cuba mensensasikannya. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, dikhuatiri akan mengakibatkan masalah yang lebih besar sekaligus merugikan kedua-dua buah negara.

3) Kedua-dua buah negara perlu menyelesaikan masalah ini dengan mengutamakan persaudaraan Islam dan persamaan rumpun Melayu antara rakyat Malaysia-Indonesia dengan pendekatan diplomasi dan musyawarah.

4) Mahasiswa Malaysia yang belajar di Indonesia diberi kawalan keselamatan yang baik dan terjaga dari sebarang gangguan yang akan menganggu konsentrasi pembelajaran mereka.

5) Mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia yang dididik dengan nilai-nilai ilmu dan profesionalisme akan mengambil peranan dalam menjelaskan isu ini kepada masyarakat serta turut sama diajak terlibat dalam usaha mencari solusi kepada isu ini.


PENUTUP

Jika dilihat kembali sejauh mana hubungan baik Malaysia-Indonesia selama ini, semestinya kita tidak rela hubungan baik ini terjejas. Justeru, kami sebagai perwakilan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa menyeru pihak kerajaan Indonesia untuk memandang serius isu ini dan menanganinya dengan bijak sebelum ianya menjadi semakin parah. Mudah-mudahan, konflik yang sebegini tidak akan mampu menggugat hubungan erat Malaysia-Indonesia malah diharapkan boleh menjadi penyebab kepada hubungan yang lebih erat kelak.