Wednesday, May 20, 2009

Majlis Perwakilan Mahasiswa Negara :: MPNM

MPMN cetus isu AUKU, PTPTN, Bahasa Melayu di Konvensyen MPP IPTA 2009

  • Batu Pahat 20 Mei 07:23 a.m| Dialog bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah di Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar 2009 Kali ke-3 yang diadakan pada 16 Mei lalu telah hangat dengan isu pemansuhan Akta Universiti kolej Universiti (AUKU), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Malaysia (PTPN) dan Bahasa Melayu

    Isu-isu berkenaan telah dicetuskan oleh beberapa ahli pemimpin mahasiswa setiap kampus yang bergabung di bawah Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN).

    Menurut Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN),Saudara Mohd Ridzuan Mohammad menyatakan bahawa AUKU perlu dimansuhkan dan tidak hanya sekadar dipinda semata-mata.

    “AUKU ialah akta yang banyak mencengkam hak asasi mahasiswa dan perlu dimansuhkan terus daripada sekadar dipinda,” ujar beliau yang juga merupakan Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).

    new mpp

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi badan mahasiswa itu, Hisyamuddin Che Ali menyatakan bahawa akta yang dikatakan membelenggu kebebasan mahasiswa tersebut tidak pernah wujud di negara-negara Eropah dan Barat yang memiliki kedudukan tertinggi antara universiti-universiti di dunia.

    “Mengapakah Malaysia terus bertegas menggunakan AUKU sedangkan Universiti kita terus terperosok di tempat tercorot dalam rangking (kedudukan) universiti dunia dan Asia.

    “AUKU jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dalam soal kebebasan bercakap, kebebasan berpersatuan dan kebebasan berhimpun itu sendiri”, katanya yang juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (MPPUKM).

    Beliau turut menyentuh tentang istilah mahasiswa yang perlu ditukar kepada pengunaan pelajar yang berleluasa di kampus sekarang.

    Bagi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia (UIAM) pula, Saudara Sofiussalam yang menyatakan bahawa AUKU perlu dimansuhkan dan hak untuk berpolitik perlu dikembalikan kepada mahasiswa.

    “Amat pelik jika AUKU ini tidak dimansuhkan kerana warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas, bebas untuk menganggotai parti politik sedangkan mahasiswa terus dikongkong untuk menyertai parti politik sama dengan rakan-rakan sebaya lain di luar Universiti,” tambah beliau.

    Konvensyen tersebut yang diadakan bertempat di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bermula pada 15 Mei lalu dan telah berakhir semalam dianggarkan telah berjaya mengumpulkan seramai 400 lebih Majlis Perwakilan Pelajar dari seluruh kampus termasuk Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

    Antara program-program yang dilaksanakan seperti pembentangan kertas kerja, dialog, penciptaan resolusi dan baktisiswa. Konvensyen tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),  Datuk Seri Khaled Nordin.-mahasiswakini


    sumber berita dari http://mahasiswakini.com

No comments: