Thursday, June 4, 2009

RM60Bilion: Lebih dari cukup - penggiat ICT

RATA-RATA penggiat industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negara ini menyifatkan pakej rangsangan kedua bernilai RM60 bilion yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini, lebih dari mencukupi dan mampu memenuhi keperluan sektor ICT.


Pengarah Urusan Cisco Malaysia, Anne Abraham, berkata pertambahan pelaburan yang menjurus ke arah telekomunikasi dan teknologi di samping sektor lain adalah tepat untuk memacu ekonomi.

"Bukti ini menunjukkan komitmen dalam membantu industri terutama perniagaan kecil dan sederhana (PKS) di samping membangunkan skil tempatan serta memperbaharui prasarana," katanya.

Katanya, pembaharuan teknologi jalur lebar melalui Khazanah mampu memberikan sambungan lebih mantap dan berinovasi sekali gus membolehkannya dimiliki semua rakyat.

"Teknologi hijau juga diperkatakan dalam pakej terbabit namun tiada langkah khas dinyatakan mengenai usaha kerajaan ke arah itu," katanya.

Sementara itu, Intel Malaysia mahukan lebih insentif untuk pelajar sekolah, isi rumah dan PKS yang mengakses Internet menggunakan komputer berasaskan jalur lebar mereka sendiri.

Pengurus Negara Jualan dan Pemasarannya, Ryaz Patel berkata individu dalam negara yang melabur untuk akses Internet ketika keadaan ekonomi merudum mampu memberikan populasi lebih berhubungan dengan membangun lebih kompetitif.

"Fokus yang lebih terarah ke prasarana sambungan yang berpatutan memberikan rakyat peluang meningkatkan tahap sosial sama ada di bandar atau luar bandar," kata Patel.

Dalam perkembangan sama, Persatuan Industri Komputer Malaysia (Pikom) menyifatkan pakej rangsangan terbabit adalah lebih baik dan komprehensif jika dibandingkan pakej pertama sebanyak RM7 bilion yang diumumkan pada November tahun lalu.

Pengerusinya, David Wong Nan Fay, berkata ia selari agenda Pikom untuk mengurangkan kadar pengangguran dan meningkatkan peluang pekerjaan terutama dalam industri ICT.

"Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam menawarkan latihan dan pekerjaan, pembinaan Pusat Pekerjaan Malaysia dan peluang kepada graduan berkelulusan sarjana dan PhD mampu menangani masalah kekurangan tenaga kerja dalam ICT," katanya.



http://www.hmetro.com.my/

No comments: