
Prestasi kumpulan pro-Mahasiswa disifatkan jauh lebih baik tahun ini dengan kejayaan merampas beberapa universiti pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam.
Angin perubahan dikatakan melanda di kampus beberapa menara gading setelah sekian lama dikuasai oleh kumpulan Pro- Aspirasi atau Pro-A. Ini termasuk Majlis Perwakilan Pelajar atau MPP di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan dan Universiti Malaysia Kelantan.
Paling  signifikan, kejayaan mereka di UM, - universiti pertama negara ini di  mana calon-calon pro-M memenangi 23 daripada 41 kerusi yang  dipertandingkan.  Mereka juga berjaya menyapu bersih semua sembilan kerusi kampus yang dipertandingkan dan 14 daripada 32 kerusi fakulti.  Ini adalah kejayaan besar bagi kumpulan itu sejak kumpulan Aspirasi menang pada pilihan raya kampus tahun lalu.  Ketika itu, mereka cuma mampu meraih 17 kerusi.
  
Kumpulan  pro-M adalah pergerakan mahasiswa yang sering kali dikaitkan dengan  mereka yang agak kritikal terhadap kerajaan dan menuntut mahukan  pembabitan yang lebih menyeluruh di kalangan pelajar dalam pentadbiran  kampus.  Seteru mereka melabelkan diri mereka sebagai  pro-Aspirasi (pro-A) kerana dikatakan cuba mempertahankan "aspirasi  kerajaan", dan secara tradisionalnya adalah penyokong pihak berkuasa.
UM secara tradisional adalah kubu bagi aktiviti perjuangan pelajar tetapi kumpulan pro-A sejak kebelakangan khususnya sedekad lalu dikatakan berjaya mendapat pengaruh.
Di  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan pro-Mahasiswa juga  berjaya mengakhiri kemarau tujuh tahun bagi menguasai universiti  kebangsaan itu.  Mereka menang 22 kerusi manakala kem  Aspirasi mendapat 15. Antara lain, kumpulan pro-Mahasiswa mendakwa  pelajar mengundi mereka kerana tidak berpuas hati dengan bekalan air  yang tidak menentu di asrama serta perkhidmatan Internet yang tidak  stabil.
"Mahasiswa UKM keluar mengundi atas inisiatif bahawa mereka peka dengan pilihan raya kampus dengan kesedaran politik. "Ia (adalah) kebangkitan mahasiswa UKM kerana pada tahun lalu jelas memperlihat banyak perkara penindasan dan kezaliman. "Ia menjadikan mahasiswa matang dengan (selepas) mengetahui siapa yang memperjuangkan isu-isu mahasiswa," kata ahli Gabungan Mahasiswa UKM (GMUKM) Mohd Hilman Idham dalam sidang media hari ini.
Di  Universiti Sains Malaysia (USM), kumpulan pro-Mahasiswa tidak memenangi  kebanyakan kerusi tetapi berjaya memperbaiki kedudukan dengan merampas  14 kerusi, meningkat daripada 7 yang dimenangi tahun lalu. Kem pro-A  masih selesa dengan 24 kerusi manakala seorang calon bebas menang satu  lagi.
Di Universiti Putra Malaysia (UPM), kem pro-Mahasiswa mengekalkan kedudukan mereka dengaan 11 kerusi, seperti pada tahun sebelumnya. Mereka dibelasah teruk oleh kumpulan pro-A yang memenangi 31 kerusi. Sebuah lagi kerusi dimenangi calon bebas.
 Sementara  itu, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), prestasi pro-Mahasiswa  bertambah buruk berbanding tahun sebelumnya, mereka hanya mendapat 12  kerusi berbanding 18 sebelumnya.  
Kumpulan Aspirasi menang 38 kerusi manakala lima lagi diboloti calon bebas.  Mengulas  faktor kekalahan mereka dalam pilihan raya itu, jurucakap pro-M UTM Ku  Abd Muhyi Ku Abd Hamid berpendapat kekurangan calon dan kekurangan  sumber kewangan adalah antara punca kekalahan mereka.
"Rentak pilihan raya kampus lebih kepada perang poster, pro-M tidak semewah pro-Aspirasi yang gantung banyak poster. (Kita juga) kurang calon di peringkat fakulti," katanya. Sehubungan itu, kumpulan tersebut akan mengadakan sesi bedah siasat berhubung kekalahan dan kemerosotan prestasi mereka malam ini.
Dalam perkembangan terbaru di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) lewat petang ini, pro-M mengekalkan kemenangan sebelum ini dengan menguasai 23 daripada 26 kerusi yang dipertandingkan. Hanya satu kerusi dimenangi pro-A. Dua dimenangi calon bebas. Tahun lalu mereka menang 15 kerusi. Ini bermakna pro-M tahun ini berjaya menambah cengkamannya di universiti itu.
Sementara itu di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pro-M tewas selepas mendapat 13 daripada 30 kerusi yang dipertandingkan. Manakala pro-A mendapat 17 kerusi.
Sumber: http://malaysiakini.com/news/156741

No comments:
Post a Comment