Entah dari mana datangnya perayaan itu mereka tidak fikirkan. Asalkan ianya memberi "roh" baru dalam alam percintaan yang kononnya kerana memikirkan masa depan.
Entah ramai atau tidak yang ingat akan peristiwa tragis yang menyayat hati pendokong-pendokong Islam. Peristiwa pembunuhan terancang As-Syahid Imam Hassan al-Banna sepatutnya menjadi renungan.
12 Februari 2009, genap 60 tahun pemergian al-Banna. Dunia barat pernah meraikan saat kematian beliau. Sehinggakan As-Syahid Sayyid Qutub yang pada ketika itu bekerja di negara Barat hairan dengan perayaan mereka di sana ketika itu. Lantas timbul dalam hatinya untuk mengenal dengan lebih mendalam siapakah insan yang bernama Hassan al-Banna ini.
Penulis tidak berminat untuk menceritakan kronologi pembunuhan terancang ini kerana pembaca mungkin lebih arif serta dapat mencari di laman-laman web yang menceritakan secara terperinci akan peristiwa ini. Sekadar mengingati peristiwa ini, apa yang diharapkan agar roh perjuangan beliau terjelma dalam anak-anak muda generasi ini. Apa yang diharapkan, kelahiran generasi baru yang akan terus memperjuangkan jihad yang diwarisi dari Rasulullah s.a.w. sentiasa berterusan. Jika seorang al-Banna yang mati, akan lahir 1000 al-Banna yang lain.
Pembunuhan al-Banna adalah satu tindakan kejam pemerintah sekular Mesir yang berselindung di sebalik nama Islam. Kejayaan al-Banna menghantar delegasi jihad ke bumi Palestin pada tahun 1948 "dihargai" oleh pemerintah Mesir pada ketika itu dengan peluru yang menembusi jasadnya. Para pejuang yang mengorbankan jiwa dan raga di Palestin pada ketika itu tidak disam but dengan bunga manggar, permaidani merah dan paluan kompang, sebaliknya disambut dengan penjara dan tali gantung.
Tindakan pemerintah Mesir pada ketika itu amat mendukacitakan kita. Pada hari ini, tradisi kekejaman mereka masih beterusan. Sekatan pemerintah Mesir ke atas Palestin pada hari ini menimbulkan kemarahan seluruh dunia Islam. Berita di akhbar semalam menunjukkan terdapat bahan makanan yang hendak disalurkan kepada saudara kita di Ghazzah sudah rosak kerana sekatan dari sempadan Mesir atas arahan regim Hosni Mubarak yang merupakan tali barut Amerika dan Yahudi.
Maka jelas di sini bahawa dunia Islam hari ini masih menanti kelahiran pemimpin Islam tulen. Justeru, menegakkan pemerintahan Islam tulen juga merupakan salah satu jihad besar yang tidak boleh ditinggalkan.
No comments:
Post a Comment