Monday, March 30, 2009

Rakyat sambut baik UIAM MedicalCity

NILAI 30 Mac - Penduduk sekitar bandar Enstek di sini menyahut baik projek pembangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) MedicalCity@enstek yang bakal dimanfaatkan umum. 

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata penduduk sekitar berpendapat, projek itu berupaya membawa kebaikan terutamanya dalam penyediaan kemudahan pusat rawatan kesihatan, pengajian dan penyelidikan industri perubatan secara menyeluruh.

Seorang penduduk tempatan, Muhamad Izwan Md. Noh, 27, berkata, projek itu merupakan langkah baik kerajaan dalam membangunkan industri perubatan negara yang boleh dimanfaat oleh seluruh lapisan masyarakat negara ini.

''Saya percaya ia adalah langkah kerajaan untuk menjamin taraf kesihatan penduduk negara dan mempertingkatkan industri perubatan negara dari segala aspek.

''Pada saya ia memang bagus kerana bukan sahaja memudahkan penduduk di sekitar ini untuk mendapatkan rawatan, malah bakal melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam lingkungan industri perubatan," katanya.

Katanya, sekiranya mencapai matlamat kewujudannya nanti, lebih ramai doktor serta ubat-ubatan dapat dihasilkan kelak dan secara tidak langsung ia akan memenuhi keperluan tenaga dalam bidang tersebut.

Menurut seorang peniaga, Abd. Wahab Taharuddin, 40, pembangunan projek itu diyakini mampu menyediakan kemudahan rawatan selain mempertingkatkan aspek ekonomi di kawasan berhampiran.

''Saya sudah berniaga di sini lebih kurang 15 tahun dan saya rasa langkah untuk membangunkan sebuah pusat perubatan di sini memang bagus dan baik.

''Secara jelas, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar sekali gus akan berlakunya peningkatan ekonomi bagi kawasan ini kelak," katanya.

Sementara itu, seorang pemandu, Fauzi Mohd. Salleh, 27, berkata, penyediaan kemudahan kesihatan di situ akan menyaksikan pengurangan penggantungan kepada pusat perubatan yang terlalu jauh seperti di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, seorang pengawal keselamatan, Mohd. Nizam Jamaluddin, 19, berkata, dia mengalu-alukan pembangunan projek tersebut kerana ia bakal melahirkan lebih ramai tenaga profesional bagi memenuhi keperluan industri perubatan tempatan.

Projek Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) MedicalCity@enstek ini yang akan dirasmikan pecah tanahnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok, dijangka memberi impak kepada sektor pelancongan kesihatan.

Ini akan dapat memberi peningkatan terhadap keyakinan pelancong yang datang ke negara ini untuk mendapatkan rawatan pakar berkualiti dan pada masa yang sama jauh lebih murah berbanding negara mereka.


Source : Utusan Malaysia

No comments: