Tuesday, March 31, 2009

PM rasmi pecah tanah Bandar Perubatan UIAM hari ini

KUALA LUMPUR 30 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan merasmikan majlis pecah tanah Bandar Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Enstek, Nilai, esok.

Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid berkata, projek itu yang pertama seumpamanya di negara ini bakal melonjakkan kedudukan UIAM sebagai universiti utama dalam pengajian perubatan di peringkat antarabangsa.

Katanya, ia akan merangkumi dua perkara utama iaitu fakulti dan hospital yang memfokus kepada pelajar pascasiswazah ke arah melahirkan ramai pakar termasuk dalam sains kesihatan bersekutu.

"Insya-Allah, bandar yang dibina di atas kawasan 60 hektar dengan kos kira-kira RM1 bilion ini dijangka siap dalam tempoh empat tahun lagi.

"Selain fakulti, hospital yang serba canggih dan lengkap itu mampu menempatkan 600 katil yang memenuhi kehendak awam, persendirian dan juga pesakit luar negara," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di UIAM Gombak dekat sini hari ini.

Menurut Syed Arabi, UIAM akan mendapat kerjasama pelbagai negara khususnya dari Pertubuhan Persidangan Negara Islam (OIC) dalam membangunkan projek berkenaan.

Katanya, antara yang telah menunjukkan minat berkerjasama ialah Arab Saudi sendiri yang terkenal dengan Bandar Perubatan Raja Fahd.

"Projek ini bukan untuk manfaat rakyat Malaysia tetapi seluruh dunia Islam. Tenaga akademik dan pelajar pun terdiri daripada pelbagai negara.

"Pengambilan pelajar akan dilakukan secara berperingkat-peringkat yang dijangkakan apabila siap sepenuhnya kelak, ia mampu menampung 2,000 pelajar termasuk di bidang berkaitan seperti pergigian dan farmasi," jelasnya.

Mengenai kampus perubatan di Kuantan, Syed Arabi berkata, ia akan kekal kerana projek Bandar Perubatan UIAM di Nilai hanya mengambil pelajar pascasiswazah selain tumpuan bidang penyelidikan.

"Kita tahu negara memerlukan ramai pakar perubatan dan apabila Bandar Perubatan UIAM di Bandar Enstek siap, ia akan membantu memenuhi keperluan negara di samping kampus di Kuantan berperanan melahirkan pelajar di peringkat ijazah pertama.

"Kita berbangga dengan peluang yang diterima UIAM kerana projek ini bukan saja bertujuan menawarkan khidmat kepada rakyat malah mengukuhkan kedudukan negara dalam pelancongan perubatan," ujarnya.

No comments: