Monday, December 27, 2010

Mencari solusi



“Ayah, saya nak tanya sikit boleh?”

Si ayah yang sedang asyik memandu mencuri menoleh ke kiri, memandang anaknya. Kemudian pandangan si ayah diteruskan ke hadapan. Kedua-dua tangannya bergerak-gerak menggenggam stereng kereta. Panduannya cukup cermat dan berhati-hati.

“Umar nak tanya apa? Tanya sajalah, macam tak biasa pula dengan ayah.” Senyuman terukir manis di bibir. Lemah-lembut, gaya seorang ayah yang mithali.

Si anak membuang pandangannya ke luar, memerhatikan papan-papan iklan yang besar didirikan di tepi jalan raya.

“Iklan-iklan kat tepi jalan raya ni, macam tak sesuai kan ayah?”

“Tak sesuai, maksud Umar?”

“Umar tengok iklan-iklan tu ada gambar wanita mendedahkan aurat. Tiap-tiap produk kebanyakannya akan menonjolkan gambar pergaulan bebas dan eksploitasi tubuh wanita.”

Si ayah hanya diam mengangguk-angguk. Membiarkan anaknya terus berbicara dengan buah fikirannya yang semakin matang dirasakannya. Dia menyedari yang anaknya itu sudah banyak berubah. Semakin matang berfikir, seiring dengan usianya yang semakin meningkat dewasa.

“Hari ini kita risau dengan masalah sosial yang semakin menjadi-jadi. Zina kemudian buang anak. Tapi bukankah iklan-iklan sebegitu yang syaitan gunakan untuk mencucuk mata dan hati manusia?” Si anak terus dengan kata-katanya yang bernas, penuh bersemangat.

“Benar Umar. Memang zina tu akan bermula daripada pandangan mata. Pandangan inilah yang akan turun mengalir ke hati. Memang sukar menjaga pandangan, kerana apabila ada yang mendedahkan, waktu itulah syaitan datang mengapi-apikan keadaan.”

“Kalau macam tu, biarlah semua manusia menutup aurat dengan sempurna, lebihan lagi wanita. Benarkah ayah?”

Si ayah diam seketika. Stereng kereta diputar perlahan-lahan, mengikut arah pergerakan jam. Kereta bertukar arah, mengambil selekoh kanan menuju ke destinasi tujuan. Selepas itu, dia meneruskan kata-kata kepada anaknya.

“Ayah rasa sukar, tapi tak mustahil. Umar pun tahu kan, agama Islam sangat praktikal. Walau kita ada dalam zaman apa pun. Bila yang wanita dah menutup aurat dengan sempurna, maka yang lelaki tundukkan pandangannya. Bukankah itu dah menutup pintu zina? Kemenangan akan berpihak kepada sesiapa yang mengikuti suruhan-Nya.”

“Betul tu ayah.” Si anak diam. Dalam hatinya terdetik, ini baru iklan di tepi-tepi jalan. Belum lagi di media massa lain. Memang pintu-pintu zina perlu segera ditutup, dikunci menggunakan mangga yang cukup kuat dan tahan lasak. Allah SWT dah beri amaran, ‘jangan kamu menghampiri zina!’

Si anak mendengus panjang. Sesekali si ayah hanya memandang anaknya yang duduk di sebelah. Diam buat beberapa ketika. Dia tahu dalam diam itu anaknya sedang berdebat di dalam hati. Mencari kemenangan atau solusi barangkali.



Sumber rujukan daripada majalah Solusi isu 23.